Orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda di KM 39, Jalan Keningau-Tambunan, semalam. – Ihsan PDRM
KENINGAU: Seorang anggota tentera Brunei maut dalam kemalangan semasa menyertai program konvoi permotoran di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, motosikal yang ditunggang anggota tentera berkenaan bertembung dengan sebuah pacuan empat roda menyebabkan motosikal tercampak dengan mangsa terperosok di bawah kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa yang berusia 40 tahun meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Keningau pada pukul 2.56 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri secara berkonvoi dengan empat motosikal lain dari arah Keningau ke Sandakan bagi menyertai acara minggu permotoran di Sandakan bermula 19 hingga 21 Julai.
Bagaimanapun, menurut beliau, apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun keluar dari simpang Kampung Monsorulung, Tambunan memasuki jalan utama.
“Mangsa cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan pacuan empat roda tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang keluar simpang tanpa berhenti.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda telah ditahan pada pukul 4.52 petang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.


































