SEOUL: Anggota kumpulan Red Velvet, Seulgi, membuat permohonan maaf susulan isu ‘tukar kasut’ membabitkan pengurusnya, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, permohonan itu dibuat penyanyi berusia 31 tahun itu di media sosialnya selain menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku disebalik kejadian berkenaan.
“Saya menanggung kesakitan kerana luka di bahagian kaki selepas melakukan latihan. Ketika sampai di lapangan terbang, pengurus mencadangkan saya bertukar kasut dengannya bagi mengelakkan kesakitan saya menjadi bertambah teruk.
“Saya akui kesilapan kerana tidak memakai kasut yang bersesuaian. Saya telah pun meminta maaf kepada pengurus dan akan pastikan perkara sama tidak berulang.
“Saya juga ingin meminta maaf kepada peminat yang kurang senang dengan tindakan saya itu,” tulisnya di Instagram.
Seulgi dihujani kecaman selepas rakaman yang memperlihatkan dia bertukar kasut dengan pengurusnya di lapangan terbang Incheon, tular baru-baru ini.
Peminat meluahkan rasa kecewa selain bersimpati dengan pengurus penyanyi itu yang terpaksa berjalan dalam keadaan tidak selesa kerana memakai kasut Seulgi.