Orang ramai menggunakan payung ketika suhu panas meningkat di Shibuya Ward, Tokyo.
TOKYO: Sekurang-kurangnya enam maut akibat strok haba di Tokyo, ketika Jepun dilanda gelombang panas dan musim hujan yang mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan secara berterusan.
Menurut Utusan Malaysia, hujung minggu lalu, wilayah tengah Shizuoka menjadi kawasan pertama di Jepun mengalami suhu mencapai 40 darjah Celsius tahun ini, melepasi ambang 35 darjah Celsius yang diklasifikasikan oleh pegawai cuaca sebagai ‘sangat panas’.
Panas melampau di tengah-tengah musim hujan di Jepun adalah fenomena yang jarang berlaku, disebabkan sebahagian oleh sistem tekanan tinggi Pasifik Selatan yang kuat.
Suhu juga mencecah paras tertinggi hampir 40 darjah Celsius pada Isnin di pos pemerhatian di Tokyo dan wilayah selatan Wakayama, lapor media tempatan.
Beberapa hari lalu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran strok haba di sebahagian besar negara itu, menggesa penduduk untuk melakukan aktiviti luar dan menggunakan pendingin hawa.
Tokyo mencatatkan tiga kematian disebabkan strok haba pada 6 Julai dan tiga lagi pada 8 Julai, ketika suhu mencecah kira-kira 35 darjah Celsius pada tengah hari.
Persatuan Perubatan Akut Jepun pada Isnin memberi amaran terhadap jumlah kematian akibat keletihan haba di seluruh negara, yang meningkat sekitar 1,500 pada tahun 2022 berbanding hanya beberapa ratus setahun, kira-kira dua dekad lalu.


































