Penyerang England, Harry Kane berlatih bersama rakan sepasukan di Blankenhain, Jerman.
DORTMUND: Wira penalti England, Trent Alexander-Arnold berkata, Virgil Van Dijk dan Belanda pasti akan bergembira jika Harry Kane digugurkan dalam kesebelasan utama.
Kapten Kane bergelut dengan prestasi pada Euro 2024 dan berdepan desakan diketepikan ke bangku simpanan bagi aksi separuh akhir menentang Belanda di Dortmund, awal pagi Khamis.
Bagaimanapun Alexander-Arnold berkata, rakan sekelabnya di Liverpool, Van Dijk pasti lega jika penyerang Bayern Munich itu digugurkan daripada kesebelasan utama.
“Sesiapa sahaja yang berdepan England mahu melihat Harry Kane tidak bermain. Kami bercakap mengenai penjaring gol terbanyak England.
“Dia menjaringkan dua gol dalam kejohanan ini, membantu kami memenangi perlawanan dan sebagai kapten kami, memimpin dengan teladan dan memberikan segala-galanya terhadap perlawanan.
“Setiap orang ada pendapat masing-masing tetapi dia mengemudi kami ke separuh akhir. Dia menjadi sebahagian daripada alasan kenapa suasana dalam kem amat bagus. Dia juga satu alasan kenapa kami layak ke separuh akhir.”
Kane, 30, meledak 65 gol dalam 96 perlawanan bersama Three Lions, namun dia kelihatan jauh menyimpang daripada keupayaan sebenar dan kebimbangan tercetus sama ada dia masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah belakang.
Kane digantikan dalam tiga daripada lima perlawanan England termasuk ketika menang ke atas Switzerland pada suku akhir Sabtu lalu.