Kakitangan hospital menjalankan ujian saringan Covid-19 di Pattani, Thailand.
BANGKOK: Thailand melaporkan wabak Covid-19 lebih banyak menjangkiti kumpulan berisiko di negara itu, terutama warga emas dan individu berpenyakit kronik.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) dalam laporan situasi terkini berkata, seramai 31,205 kes Covid-19 dirawat di hospital sejak awal tahun ini, dengan 172 kematian direkodkan.
Ketua Pengarah DDC, Dr. Thongchai Keeratihattayakorn berkata, terdapat 3,256 kes Covid-19 dilaporkan pada minggu 23 hingga 29 Jun, dengan purata 465 kes sehari.
Daripada jumlah itu, sebanyak 709 kes mengalami radang paru-paru dengan 336 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Beliau berkata, terdapat 16 kematian direkodkan pada tempoh sama, kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas.
Susulan itu, Keeratihattayakorn menasihatkan orang ramai terutama kumpulan berisiko untuk mengikuti panduan pencegahan Covid-19, dengan menjaga penjarakan, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.
Timbalan Ketua Pengarah DDC, Dr Apichat Wachirapan berkata, situasi Covid-19 di Thailand kini serupa dengan influenza, yang merebak apabila orang ramai berkumpul dan bersesak.
Beliau berkata, kadar kes Covid-19 kembali meningkat dan kini berada pada tahap tertinggi bagi tahun ini.
Kadar kematian akibat Covid-19 di Thailand pada masa ini adalah 0.04 peratus, jauh lebih rendah daripada semasa penyebaran virus varian Delta iaitu 2.16 peratus.
Sementara itu, katanya, kadar kematian di hospital adalah 0.7 peratus, satu pertiga daripadanya pada 2023, yang mencerminkan keadaan keseluruh Covid-19 di Thailand bertambah baik.


































