Nga Kor Ming
PETALING JAYA: Sebanyak 288, 968 unit rumah mampu milik sebahagiannya telah siap dibina manakala sebahagian lagi masih dalam fasa pembinaan, sehingga 31 Mac tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu menyumbang kepada 57.8 peratus daripada 500,000 unit rumah mampu milik yang disasarkan.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Dasar Perumahan Negara sentiasa memberikan komitmen berterusan bagi memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal melalui penyediaan rumah berkualiti dan mampu dimiliki selaras dengan slogan rumahku syurgaku.
“KPKT juga telah dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras bagi tujuan penyediaan pelaporan rumah mampu milik yang dilaksanakan agensi penyedia perumahan di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.
“Pencapaian sasaran ini akan dipantau melalui Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang telah diaktif semula dan dipegerusikan sendiri oleh Perdana Menteri,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika menggulungkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan tahun 2022.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kementeriannya komited menyediakan rumah mampu milik melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat untuk golongan B40 serta kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) untuk golongan berpendapatan sederhana.
“Bagi membantu golongan B40 memiliki atau menyewa rumah, terdapat dua program sedang dilaksanakan. Pertama program PPR dimiliki atau disewa. Sejak diperkenalkan pada 1982 sehingga kini, terdapat 202 projek PPR dengan keseluruhan 115,039 unit rumah telah diluluskan pelaksanaan di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 164 projek melibatkan 101,516 unit rumah telah siap dibina sepenuhnya, 19 projek dengan jumlah 7,517 unit masih dalam pembinaan serta 19 projek dengan 6,006 unit rumah masih dalam perancangan.
“Tahun lepas KPKT menetapkan harga jualan PPR dimiliki RM45,000 seunit manakala bagi PPR sewa kadar sewa ditetapkan RM200 seunit bagi rumah atas tanah dan RM250 unit bagi rumah berstrata termasuk yuran pelanggaran,” katanya.


































