Tangkap layar video berbalas tembakan yang menyaksikan dua penjenayah mati ditembak polis di Taman Abad, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Dua penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Jalan Abad, Taman Abad, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.04 petang itu, seorang suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.
“Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek, kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut telah terkena tembakan dan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden tembakan itu yang mengejutkan penduduk setempat.
Turut tular video menunjukkan anggota polis melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh setelah Jalan Abad telah ditutup buat sementara waktu.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata, pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan dua pucuk pistol di dalam kenderaan dinaiki suspek itu.
Menurutnya, polis turut menjumpai sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek.
“Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan tersebut.
“Semakan dibuat mendapati suspek berusia 42 tahun mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah manakala identiti seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti setelah tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299.
































