Basikal yang digelar ‘Starbike’ mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dihasilkan.
PARIS: Dua sahabat dari Perancis berjaya memahat nama dalam Guinness World Record kerana menghasilkan basikal boleh ditunggang tertinggi di dunia yang berukuran 7.77 meter.
Pencapaian itu sekaligus memecahkan rekod sebelum ini iaitu setinggi 0.36 meter.
Menurut Utusan Malaysia, idea menghasilkan basikal yang digelar ‘Starbike’ ini tercetus kira-kira lima tahun lalu, sewaktu Nicolas Barrioz dan David Peyrou minum di sebuah pub.
Kedua-duanya berkata, basikal itu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dihasilkan.
Sama seperti basikal biasa, ia mempunyai pelana, dua roda bersaiz standard dan bar hendal yang disambungkan kepada dua tuas brek.
Namun, apa yang membezakan basikal ciptaan dua pemuda ini adalah bingkai besar, dengan pedal disambungkan ke roda belakang dan rantai sepanjang 16 meter.
“Ia juga mempunyai loceng sekiranya pengguna jalan raya lain masih tidak melihat anda,” kata Nicolas.
Basikal itu dibuat daripada aloi, keluli dan kayu yang kebanyakannya diperoleh daripada perabot kitar semula.
Tayar basikal itu disediakan secara percuma oleh Michelin, yang ibu pejabatnya terletak di Clermont-Ferrand, bandar David.
Mereka melancarkan basikal itu dan mencipta rekod pada festival basikal tahunan.
Untuk membuktikan ciptaan itu berkesan dan melayakkan mereka memperoleh rekod secara rasmi, David menunggang Starbike tanpa bantuan dalam jarak 100 meter.
Sebagai langkah keselamatan, dia memakai abah-abah yang dipasang pada dawai zip.
































