Dr. Joachim (tengah) menyaksikan Masiung (kiri) dan Wilson bersalaman selepas selesainya sesi menandatangani perjanjian usahasama itu.
KOTA KINABALU: Sebuah projek pembangunan bercampur bernilai RM478 juta akan dibangunkan di Semporna.
Projek tersebut akan dilaksanakan secara usahasama oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan Cepat Hebat Sdn. Bhd. di sebuah kawasan berhampiran Kampung Tinagayan.
Ia melibatkan pembangunan dua buah hotel masing-masing bertaraf 3 and 4 bintang, serta bangunan pejabat dan pasaraya.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama di antara kedua-dua pihak di Hotel Magellan, Sutera Harbour kelmarin (13 Jun).
Dr. Joachim berkata, pembangunan tersebut akan dapat memenuhi keperluan pelancong yang semakin meningkat di daerah pelancongan itu.
“Semporna merupakan satu daripada destinasi pelancongan popular di Sabah. Pembangunan ini sudah pasti dapat memenuhi keperluan pelancongan dari segi tempat penginapan dan fasiliti yang lebih baik,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, projek tersebut akan bermula sebaik penduduk setinggan di kawasan terbabit dipindahkan.
“Kawasan yang dipilih untuk pembangunan tersebut ketika ini dipenuhi rumah-rumah setinggan di sekitarnya. Kita akan mengenal pasti penduduk tempatan di kawasan setinggan itu untuk dipindahkan ke sebuah perkampungan baharu.
“Mengikut bancian awal, terdapat 200 ketua isi rumah (KIR) yang terlibat dengan perpindahan ini. Kita akan adakan sesi libat urus dengan mereka yang terlibat,” katanya, sambil menambah proses ini akan mengambil masa untuk diselesaikan.
Beliau berkata, LPPB akan menyediakan sebanyak 500 lot tanah, yang melibatkan 21 ekar, untuk tujuan tersebut.
Hadir sama ialah Pembantu Menteri I, Datuk Isnin Aliasnih; Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jamili Nais dan Pengarah Cepat Hebat Sdn Bhd, Wilson Chong dan Goh Thian Teck.
































