James (kanan) menerima cendera kenangan daripada Dr. Deena Thomas, Pengerusi Negeri Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sabah, sambil disaksikan oleh Dr. Asiaton, Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (kiri).
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekalkan jururawat berasal dari Sabah terus bertugas di negeri ini dan tidak ditukar ke Semenanjung atau Sarawak.
Ini kerana Sabah sendiri amat memerlukan lebih ramai jururawat untuk ditempatkan di hospital dan klinik di negeri ini, katanya.
Menurutnya, terdapat jururawat berasal dari Sabah yang ditukarkan ke Semananjung dan Sarawak.
Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan hanya 10,286 daripada 11,245 perjawatan untuk jururawat telah diisi setakat ini, manakala 959 kekosongan belum diisi.
“Merujuk kepada statistk tersebut, tiada keperluan untuk jururawat di negeri ini ditukarkan ke Semananjung atau Sarawak.
“Malah kami di sini memohon kepada KPPA supaya kekosongan yang berjumlah 959 diisi oleh mana-mana Jururawat Terlatih yang masih menganggur di Sabah, termasuklah pekerja di bawah MySTEP agar dipertimbangkan untuk diserap ke jawatan tetap KKM,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Persatuan Jururawat Malaysia Ke-74 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Berhubung isu kebajikan jururawat, James berkata, dalam beberapa siri lawatannya ke hospital dan klinik-klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh Sabah, beliau dapati masih terdapat petugas terutamanya jururawat tidak mempunyai kemudahan tempat tinggal atau kuarters yang sempurna.
“Saya amat simpati dengan keadaan mereka, sedangkan mereka adalah sebahagian petugas barisan hadapan.
“Saya memohon kepada KKM agar melihat perkara ini dengan sewajarnya sebagai satu keperluan asas yang sepatutnya dinikmati oleh jururawat-jururawat yang bertugas terutamanya di kawasan luar bandar atau pedalaman,” ujarnya.
Mengenai isu gaji Jururawat Masyarakat (MidWife), James berkata, beliau difahamkan Jururawat Masyarakat yang melanjutkan kursus di ILKKM terpaksa berhadapan dengan isu gaji apabila mendapat lantikan baru sebagai jururawat, di mana gaji mereka jauh lebih rendah daripada gaji semasa menjadi Jururawat Masyarakat.
“Sehubungan itu saya mahu KKM mempertimbangkan untuk membuat penyelarasan gaji kepada mereka, kerana difahamkan mereka juga mempunyai tanggungan atau komitmen bulanan seperti hutang kereta dan rumah.”
James turut mengulas tentang isu gred perjawatan diambil, di mana beliau menegaskan supaya gred perjawatan yang ada di Sabah tidak dibawa ke Semenanjung atau ke negeri lain.
“Saya juga minta supaya jawatan-jawatan atau kemahiran yang ada di Sabah, dikekal di negeri ini.
“Seperti gred 52, 54, 48, 44, saya minta jangan ditarik ke Semenanjung, kekalkan di Sabah. Kalau ada pegawai yang pindah ke Semenanjung, pindah saja. Carilah gred di Semenanjung, kadang-kadang gred perjawatan yang sudah sah dibawa ke Semenanjung menjadikan gred kita di Sabah berkurangan,” tegasnya.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, James berkata, beliau akan terus konsisten dalam membela nasib warga KKM di negeri ini termasuklah jururawat, agar mereka juga menikmati kesejahteraan dalam kehidupan harian mereka.
“Justeru dalam usaha saya mengatasi pelbagai isu serta masalah yang dihadapi, saya berharap terutama sekali kepada Persatuan Jururawat Malaysia agar bersama-sama dengan saya dalam membela sekali-gus memartabatkan jururawat di negara kita,” katanya.
Terdahulu, James berkata, jururawat memberikan sumbangan besar kepada masyarakat di negara ini, khususnya di Sabah.
“Peranan anda sangat besar, anda adalah penyokong, pendidik dan pemimpin dalam penjagaan kesihatan, malah memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan dalam komuniti.
“Contohnya, ketika negara berdepan pandemik Covid-19, jururawat berada di barisan hadapan, menunjukan daya tahan, keberanian, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menjalankan tugas dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa mengenal erti lelah bekerja siang malam tanpa mengira waktu.
“Bukan mudah menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang jururawat. Sumbangan jururawat seiring pentingnya dengan tugasan seorang doktor. Bak kata orang, di mana ada doktor, maka di situ adanya jururawat. Bagi pihak kerajaan dan rakyat, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jururawat.”
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Jururawat Malaysia kerana telah memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti kejururawatan, menyediakan platform untuk pembangunan profesional, advokasi dan rangkaian.
Katanya, dedikasi persatuan ini untuk memajukan profesion kejururawatan melalui pendidikan dan latihan berterusan memastikan jururawat Malaysia dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara kita yang semakin berkembang.
“Ke arah itu, saya menggalakkan agar jururawat dari pelbagai latar belakang seperti jururawat dari sektor awam, swasta, Tutor ILKKM, pensyarah kejururawatan dari universiti awam dan swasta di Sabah, bersatu dalam persatuan yang boleh menyediakan platform kepada jururawat satu Malaysia seperti Persatuan Jururawat Malaysia, yang ada sekarang ini.
“Sudah pastinya, melalui persatuan, suara anda akan lebih kuat dalam apa juga tuntutan yang menjurus kepada kepentingan hak dan masa depan anda semua sebagai jururawat,” katanya.
































