Armizan Mohd. Ali bersama wakil syarikat pengangkutan yang menerima fleet kad SKDS 2.0 itu di Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2 di Lebuhraya Grand Sepadu, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, kelmarin.
SHAH ALAM: Kerajaan belum memuktamadkan tarikh pelaksanaan subsidi diesel bersasar berikutan terdapat beberapa perkara seperti sasaran penerima layak perlu diperkemas dan diperkukuhkan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan itu secara dasarnya adalah tahun ini tetapi hanya selepas Jemaah Menteri berpuas hati dengan perincian semua mekanisme.
“Yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penyasaran subsidi bagi mereka yang layak dibantu dan bukan lagi secara pukal sehingga dinikmati oleh golongan tidak bersesuaian termasuk warga asing.
“Penyasaran semula diesel itu antaranya turut melibatkan kementerian-kementerian lain dan kita bersedia melaksanakannya selepas pengumuman dibuat kerajaan nanti,” katanya selepas sesi penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2, kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusannya mengumumkan kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar bahan api bagi Semenanjung Malaysia dengan jangkaan penjimatan berjumlah RM4 bilion.
Jelas Armizan, ia melibatkan penyelarasan semula harga bahan api diesel di stesen minyak dan konteks bantuan sosial kepada golongan sasar yang mempunyai kebergantungan tinggi bahan api.
“Namun, kita perlu memperkukuhkan dengan perluasan kepada jenis kenderaan sektor pengangkutan darat. Sebanyak 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dalam SKDS 2.0 setakat ini yang meliputi 90,000 ‘fleet card’ oleh lima syarikat minyak utama,” ujarnya.
Justeru, Armizan menasihatkan syarikat terlibat segera membuat permohonan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi diumumkan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementeriannya bersedia memperketatkan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang sengaja menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan subsidi bersasar bahan api kelak.


































