Seorang pelajar wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjung Bunga, Pulau Pinang petang Rabu.
GEORGE TOWN: Polis kini sedang menyiasat kejadian seorang wanita berusia 24 tahun yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 di sebuah hotel di Tanjung Bunga, Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mayat mangsa yang juga merupakan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditemukan orang ramai dalam keadaan tertiarap di tingkat bawah hotel berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihak polis ada menerima maklumat berhubung kejadian itu dan ketika polis tiba di lokasi kejadian, wanita tersebut telah meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan awal, pelajar wanita ini didapati telah mendaftar masuk ke hotel tersebut sejak semalam (Rabu).
“Dia mendaftar masuk ke situ bersama teman lelakinya. Kemudian, mangsa dilaporkan terjatuh dari bilik hotel mereka yang terletak di tingkat 21 hotel tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini kelmarin.
Menurutnya, ketika ini, polis juga telah merekodkan keterangan daripada teman lelaki mangsa yang juga berusia 24 tahun.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya.


































