PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan ketua industri dan perniagaan membabitkan pelbagai sektor yang berpusat di Jepun, kelmarin.
Antara syarikat yang turut menghadiri pertemuan itu IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, ruang dan peluang dalam pertemuan itu digunakan sebaiknya bagi memberikan jaminan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik untuk membuat pelaburan.
“Saya juga tegaskan bahawa Malaysia memiliki kestabilan dan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi mana-mana syarikat merealisasikan pelaburan ke dalam negara.
“Antara peluang pelaburan di Malaysia yang dibincangkan merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya kelmarin.
Anwar kini berada di Tokyo, Jepun bagi menghadiri menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) bermula kelmarin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menegaskan supaya komitmen syarikat terbabit disusuli secara rapi supaya pelaburan ke dalam negara ini dapat direalisasikan dalam masa yang ditetapkan.
“Dengan adanya interaksi kerajaan dengan para pelabur seperti ini akan terus memberikan peluang yang besar buat negara kita bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada Jepun, Insya-Allah,” katanya.


































