Gambar hiasan
NEW YORK: Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap syarikat farmaseutikal AstraZeneca, mendakwa menjadi kurang upaya kekal selepas mengambil vaksin Covid-19 daripada syarikat itu.
Menurut Utusan Malaysia, The Telegraph melaporkan, Brianne Dressen, 42, mendakwa mengalami masalah saraf selepas mengambil bahagian dalam percubaan vaksin tersebut pada tahun 2020.
Dressen kini menyaman syarikat itu untuk pelanggaran kontrak kerana syarikat itu gagal memberikannya rawatan perubatan selepas percubaan itu.
Dressen dilaporkan memfailkan saman itu Ahad lalu.
Dalam dokumen tersebut, Dressen menjelaskan dia dijanjikan bahawa syarikat itu akan menanggung perbelanjaan untuk kecederaan penyelidikan dengan syarat kosnya munasabah dan dia tidak menyebabkan kecederaan itu sendiri.
Tetapi apabila Dressen mula mengalami sensasi seperti tertusuk jarum yang teruk di seluruh badannya sejurus selepas disuntik, kosnya tidak ditanggung.
Dressen berkata, dia terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali selepas suntikan itu yang menelan belanja beribu-ribu dolar.
“Perkara ini menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja. Saya masih hilang upaya kekal.
“Saya masih mengalami mimpi yang mengerikan tentang sensasi pin dan jarum yang mengalir melalui badan saya, kepala hingga kaki, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya.
Dressen mempunyai dua anak berusia sembilan dan 11 tahun, yang menurutnya turut terjejas akibat penyakitnya.
Wanita itu menyaman syarikat berkenaan untuk menuntut perbelanjaan perubatannya bersama ganti rugi tambahan akibat tekanan emosi, kehilangan pendapatan, pengangkutan dan yuran guaman.
Vaksin buatan Britain itu tidak pernah diluluskan untuk digunakan di AS.
Di United Kingdom (UK), lebih 50 orang memfailkan saman terhadap syarikat itu.
AstraZeneca baru-baru ini mengakui vaksinnya dalam kes-kes yang jarang berlaku mempunyai kesan sampingan Trombosis dengan Sindrom Thrombocytopenia sebelum mengumumkan sudah menarik balik vaksin Covid-19 keluaran syarikatnya di seluruh dunia.


































