Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pertimbangan tertentu berhubung pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dijelaskan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian susulan ada segelintir pihak yang mempertikai pelantikan semula Azam termasuk oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).
“C4 berhak mengemukakan pandangan itu. Pada masa sama, ada beberapa pertimbangan yang diberikan Perdana Menteri dalam membuat keputusan (pelantikan) ini,” katanya.
Sebelum ini, C4 Center menggesa refomasi institusi disegerakan susulan pelantikan semula Azam.
Katanya, cadangan reformasi itu sudah berlanjutan selama setahun tanpa ada perkembangan konkrit.
Menurut C4 Center lagi, pelantikan jawatan itu sepatutnya dicadangkan oleh Parlimen melalui sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Pada masa sama, C4 turut mengkritik pelantikan semula Azam kerana dikhuatiri menjejaskan keupayaan SPRM untuk memerangi rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik di Malaysia.
Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun lagi, berkuat kuasa Ahad lalu.
Pada 17 Mei 2023 lalu, C4 Center turut mengkritik pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.


































