Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin bertemu atlet terjun, Bertrand Rhodict di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini. Turut serta timbalan ketua kontinjen, Datuk Nicol David.
PETALING JAYA: Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises berkelana ke Singapura bagi menjalani latihan khas sebagai persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bertrand yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara terjun di temasya itu akan menjalani latihan intensif untuk meningkat darjah kesukaran yang lebih tinggi di Singapura.
Menurut Utusan Malaysia, pengarah teknikal terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, penerjun kelahiran Sarawak itu akan mengakhiri latihannya sehingga hujung bulan sebelum menyertai kejohanan di Australia.
“Bertrand berada di Singapura sehingga 30 Mei. Selepas itu beliau bersama mereka Nur Dhabitah dan Ooi Tze Liang akan ke Australia bagi menghadapi kejohanan di sana.
“Latihan beliau semakin baik dan masih mempelajari terjunan baharu. Kami juga sedang mengkaji sama ada terjunan baharu terbabit bnoleh digunakan semasa di sana (Olimpik),” katanya.
Kejohanan kebangsaan Australia akan membuka tirai saingannya pada 2 hingga 10 Jun depan yang mana menjadi medan Bertrand menguji teknik terjunan baharu sebelum cabaran Paris bermula.
Menurut Bryan, Dhabitah dan Tze Liang dibawa ke Australia sebagai persiapan sekiranya kedua-dua mereka mendapat slot ke temasya terbesar dunia itu.
“Kita rancang persediaan untuk mereka jika nama tersenarai dalam kuota yang tidak digunakan itu. Jika mereka terpilih, saya sudah mempersiapkan mereka ke Olimpik nanti.
“Bagaimanapun, peluang itu kedua-dua penerjun itu sangat tipis. Kita hanya bergantung kepada pengumuman Persatuan Akuatik Dunia awal bulan depan nanti,” kata Bryan.
Bertrand menjadi wakil tunggal sukan terjun negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas layak secara merit menerusi acara 10 meter (m) individu pada Kejohanan Dunia Akuatik di di Fukuoka, Jepun tahun lalu.

































