Kebakaran sebuah rumah di Kampung Kubang Siam, Alor Janggus di Alor Setar.
ALOR SETAR: Bomba menafikan kejadian tiga kanak-kanak rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Kubang Siam, Alor Janggus, di sini seperti yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, kebakaran rumah dua tingkat pada petang semalam itu tidak melibatkan mangsa.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.27 petang dengan kebakaran mengakibatkan rumah musnah 90 peratus, manakala sebuah kereta jenis Proton Waja rosak lima peratus.
“Difahamkan terdapat seorang kanak-kanak yang sedang tidur di dalam rumah itu ketika kejadian, namun dia tersedar dan sempat berlari keluar dari rumah.
“Dia kemudian beritahu adik dia ada di dalam rumah, sedangkan seorang adiknya ke kelas agama manakala seorang lagi keluar bersama ibunya. Kejadian sememangnya tidak melibatkan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, video dengan maklumat kononnya tiga kanak-kanak menjerit sebelum ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Kubang Siam, di sini tular menerusi aplikasi WhatsApp.


































