Ewon (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM7 juta kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) bagi mewakili 16 Pejabat Daerah yang akan melaksanakan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah tahun ini.
KUALA PENYU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 38 tapak Tamu Desa telah dikenal pasti di seluruh Sabah untuk dinaik taraf bagi fasa pertama dengan dana sebanyak RM7 juta.
Beliau berkata, peruntukan itu adalah untuk melaksanakan fasa pertama pelaksanaan Projek Tamu Desa di negeri ini.
“Bagi program ini, Pejabat Daerah akan bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana untuk memastikan pelaksanaan projek mengikut skop kerja yang ditetapkan.
“Pejabat Daerah juga akan melaporkan status pelaksanaan projek ini setiap bulan kepada KUSKOP dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) yang akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pasar tamu komuniti atau pasar minggu adalah tempat masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah bertemu.
“Ia mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai produk tempatan masyarakat Sabah yang dijual oleh para peniaga. Dalam hubungan ini, kementerian akan memulakan Program Pembangunan Premis Tamu Desa bertujuan menaik taraf kemudahan ruang niaga dan pusat penjaja di luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan peruntukan bagi tujuan pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah.
“Program ini akan menyediakan atau menaik taraf ruang niaga dan pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif bagi memudahkan akses pemasaran produk jualan dengan lebih berkesan di tapak lokasi perniagaan,” katanya.
Ewon turut mengumumkan pelaksanaan projek Tamu Desa akan dimulakan di Kuala Penyu dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi menaik taraf dua tapak yang telah dikenal pasti.
“Saya berharap dengan pelaksanaan projek Tamu Desa di Kuala Penyu ini akan dapat menyediakan kemudahan ruang niaga yang lebih kondusif dan selesa,” katanya.
YBR sedia RM300,000 biayai yuran kursus INSKEN di Sabah dan Sarawak
SEMENTARA ITU, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan dana sebanyak RM300,000 untuk membiayaai yuran usahawan yang menyertai kursus Institut Keusahawanan Negara (KNSKEN) di Sabah dan Sarawak.
Ewon berkata, ia akan memberi manfaat kepada seramai 1,200 usahawan yang ingin mengikuti program keusahawanan anjuran INSKEN, satu daripada agensi di bawah kementerian.
“Terdapat usahawan yang mempunyai pengetahuan terhad untuk membangunkan strategi perniagaan berkesan untuk bersaing di pasaran.
“Oleh itu, pendekatan pembangunan pengetahuan dan kemahiran usahawan diperlukan bagi menghasilkan perniagaan yang mempunyai daya saing kuat dalam pasaran.
“Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan berita baik kepada usahawan dan peniaga kecil bahawa INSKEN dengan kerjasama YBR bakal memberi manfaat berjumlah RM300,000 kepada 1,200 usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ewon berkata, pembiayaan itu akan memberi peluang dan galakan kepada para usahawan di Malaysia Timur untuk menyertai progam latihan keusahawanan.
“Yayasan Bank Rakyat akan memberi tajaan sebanyak RM250 bagi setiap peserta yang menyertai program latihan keusahawanan anjuran INSKEN di Sabah dan Sarawak.
“Melalui inisiatif ini, saya berharap agar lebih ramai usahawan informal di Sabah dan Sarawak akan mengambil peluang untuk menimba ilmu keusahawanan bagi memantapkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau juga menyeru agar usahawan di negeri ini merebut manfaat yang disediakan KUSKOP dengan mendaftar program latihan INSKEN di laman web www.insken.gov.my.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching, ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, ketua-ketua jabatan persekutuan negeri dan ketua-ketua agensi KUSKOP.




























