PETALING JAYA: Umat Islam diingatkan berwaspada dengan tawaran pakej haji dikendalikan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa tidak sah.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, pemberian visa haji selain melalui kuota rasmi Malaysia merupakan hak mutlak Arab Saudi.
Beliau berkata, terdapat beberapa kawasan ketika melaksanakan ibadah tersebut hanya diberikan kebenaran kepada jemaah yang mempunyai visa haji sahaja.
“Kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadah haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji sah sahaja, manakala visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab.
“Setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara. Oleh itu, penting untuk orang ramai memeriksa dengan teliti setiap tawaran diberikan termasuklah jenis visa digunakan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Syed Hamadah berkata, Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadah dan keselamatan jemaah yang datang dari seluruh dunia.
“Kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan kawalan keselamatan lebih ketat ketika kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji lebih efisien bagi memeriksa setiap individu yang masuk ke kawasan Masyair.
“Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10,000 (RM12,600),” katanya.
Oleh demikian, TH menasihati bakal-bakal haji untuk lebih berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji ditawarkan oleh 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan lembaga tersebut bagi Musim Haji 1445H/2024M.
Tindakan menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH oleh mana-mana individu atau agensi pelancongan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).































