Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia harus terdesak untuk melakukan sesuatu yang pantas supaya tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang pesat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu mengambil kira perkembangan kepesatan perubahan dalam dunia masa kini.
“Kita tidak boleh berubah menggunakan kerangka lama sama ada kepemimpinan politik, perkhidmatan awam atau di universiti,” katanya semasa berucap merasmikan Program Malaysia Kecerdasan Buatan (Al) Nexus 2024 hari ini.
Anwar berkata, negara juga perlu menumpukan kepada pembinaan ekosistem AI yang memerlukan kerjasama semua kementerian.
“Ekosistem bermakna persiapan kita dari peringkat sekolah rendah, menengah ke Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke institut pengajian tinggi, sektor swasta penjawat awam dan governance AI, itu semua harus mempersiapkan diri,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut mengulangi gesaan supaya tidak mengheret pemikiran lapuk dan jumud dalam kalangan anak muda.
Katanya, ia termasuk membicarakan hal-hal merugikan masa serta menanam bibit permusuhan dan perpecahan.
Sebaliknya, beliau berkata, perlu menumpukan menyelamatkan bangsa dan negara termasuk dalam menggapai pemikiran baru dan membina ekosistem AI di negara ini.