Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan perasmian.
KINABATANGAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.49 bilion kepada Sabah.
Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan berkenaan melibatkan
sebanyak 295 projek.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2024, di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan memperuntukkan kepada KKDW sebanyak RM18.39 billion bagi tujuan pembangunan di Negeri Sabah.
“Bagi tahun 2024, di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12, daripada RM7.43 billion peruntukan pembangunan KKDW, sebanyak RM1.49 bilion atau 20 peratus diperuntukkan bagi Negeri Sabah melibatkan sebanyak 295 projek.
“Bagi tahun 2024, KKDW juga telah memperuntukkan sejumlah RM77.35 juta bagi tujuan pembangunan di daerah Kinabatangan untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa @Sukau di Dataran Tamu Sukau.
Antara projek utama yang telah dan akan dilaksanakan adalah termasuk pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM943 juta dan penyediaan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan kos keseluruhan bernilai RM162.4 juta.
Sementara itu, mengulas mengenai program, beliau yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berharap para usahawan di Kinabatangan mengambil peluang untuk mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.
“KKDW telah menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM17 juta untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan desa melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).
“Melalui SPKLB, usahawan berpeluang mendapatkan kemudahan sokongan bagi memperkukuh, mengembangkan perniagaan serta membangunkan produk serta perkhidmatan bagi tujuan pemasaran yang lebih luas,” tambahnya.
Dalam majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut menyampaikan watikah pelantikan Komuniti Desa Madani Negeri Sabah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita & Keluarga (HAWA) Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Arifin.