Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 13 peratus, tertinggi dalam sejarah mulai 1 Disember tahun ini.
Ketika mengumumkan perkara itu pada hari sambutan Hari Pekerja di sini, Perdana Menteri berkata, ia antara keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) iaitu satu kenaikan tertinggi dalam sejarah.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.
“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya RM2,000 melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM10 bilion.
“Pada masa ini pendapatan menyeluruh minimum adalah pada kadar RM1,765. Saya setuju tak munasabah.
“Maka tahun ini kriteria ukuran baharu sistem saraan iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap mesti lebih RM2,000,” katanya.


































