GUANGZHOU: Puting beliung kuat melanda bandar mega selatan China, Guangzhou mengorbankan lima orang dan mencederakan 33 orang.
Hujan lebat dan ribut batu turut melanda ibu kota wilayah Guangdong.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa berkata, puting beliung itu mempunyai keamatan tahap tiga, dua peringkat lebih rendah daripada paras tertinggi lima.
Siasatan terhadap kerosakan yang berlaku sedang dijalankan, lapor agensi berita Xinhua.
Secara keseluruhan, 141 bangunan kilang rosak, kata pihak berkuasa.
Menurut laporan Xinhua, stesen cuaca di perkampungan Liangtian di daerah Baiyun di Guangzhou, kira-kira 2.8 kilometer dari titik kejadian puting beliung itu mencatatkan tiupan angin maksimum 20.6 meter sesaat pada sekitar pukul 3 petang.
Puting beliung itu datang ketika Guangdong bertempur dengan banjir disebabkan hujan lebat yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang maut dan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal di beberapa bandar.
Sekurang-kurangnya 10 orang juga dilaporkan hilang.
Pada awal hari berkenaan, pihak berkuasa bandar mengeluarkan amaran ribut petir, ribut hujan, ribut hujan batu dan puting beliung di banyak daerah.
Hujan batu sebesar telur merosakkan kereta dan tingkap di beberapa bahagian daerah Guangzhou Zengcheng dan Panyu.
“Puting beliung dan ribut hujan batu amat dahsyat. Saya memberitahu ibu bapa saya untuk tinggal di dalam rumah walaupun kebanyakan tanaman sayuran mereka rosak,” kata Qiu Ruifa, seorang penduduk Guangzhou yang ibu bapanya tinggal di kawasan luar bandar di daerah Conghua.
Bencana alam China menelan belanja AS$3.3 bilion (RM15.729 bilion) pada suku pertama, kata kerajaan.
Cuaca memaksa banyak pembatalan penerbangan di lapangan terbang Guangzhou, salah sebuah lapangan terbang yang paling sibuk di negara itu.
Penumpang yang terkandas menyiarkan gambar dan rakaman air yang mencurah ke dalam kemudahan itu dari retakan di bumbung, menyebabkan banjir teruk.
Lebih banyak hujan diramalkan untuk wilayah itu dalam tempoh lima hari akan datang, dengan risiko tinggi hujan lebat, hujan batu dan puting beliung.
Semalam, pihak berkuasa Guangzhou mengumumkan bahawa jumlah hujan di bandar itu untuk bulan itu sudah mencapai 455.8 milimeter, tertinggi bagi April sejak 1951.
Pesara guru, Zhu Yinghua berkata, air mengalir masuk ke dalam bangunan.
“Hari-hari hujan lebat menyebabkan air hujan menembusi dari dinding luar bangunan ke dinding bilik tidur,” kata Yinghua.
Hujan lebat juga menambahkan ketidakpastian kepada Pameran Canton yang sedang berlangsung, pameran perdagangan terbesar di negara ini.
Pameran itu, penuh sesak dengan pembeli asing semasa fasa pertama daripada tiga fasa antara 15 April dan 20 April tetapi aliran kelihatan perlahan sejak beberapa hari kebelakangan ini disebabkan cuaca, kata pengeksport.
Pelbagai bahagian negara itu dilanda cuaca ekstrem yang membawa maut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Wilayah timur Jiangxi dilanda angin kencang dan semburan awan pada Mac, mengorbankan tiga orang. Dan pada bulan September, dua puting beliung di wilayah timur Jiangsu membunuh 10 orang.