PETALING JAYA : Gara-gara tidak suka mendengar tangisan, seorang bapa yang dipercayai di bawah pengaruh dadah menghentak kepala anaknya berusia enam bulan di sofa sehingga maut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.52 pagi di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, kelmarin, ibu kanak-kanak berkenaan dikatakan tiada di rumah.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, ibu bayi berkenaan bersama anak sulungnya berusia tujuh tahun telah berkunjung ke rumah ibu dan bapa suspek yang terletak bersebelahan rumah mereka.
Kata sumber itu, sewaktu kejadian, bayi malang berkenaan tinggal bersama bapanya sementara waktu.
“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan pada mulanya menangis tanpa henti menyebabkan suspek naik hantu dan menghentak kepala bayinya.
“Suspek juga dipercayai pernah memukul isterinya sebelum ini. Namun, ini kejadian pertama suspek mengamuk dengan anak mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Terdahulu, suspek berusia 25 tahun ditahan di pekarangan Unit Forensik hospital berkenaan pada pukul 11.30 malam hari sama.
Kejadian itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit mendapati ada kesan kecederaan pada kepalanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Muhamad Nasir Drahman berkata, pada awalnya polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada pukul 8.52 pagi.
“Lelaki itu mendakwa bayinya tidak sedarkan diri di rumah di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma.
“Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan pada badan mangsa dan mayat bayi itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati kesan kecederaan pada mayat bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi perbuatan jenayah.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, ibu kepada bayi lelaki Muhammad Aysar Wildan Muhammad Aizat tersebut tidak menyangka suaminya tergamak bertindak kejam.
Wanita dikenali sebagai Siti itu memberitahu, ketika kejadian, dia dan anak sulung berusia dua tahun ke rumah keluarga mentua.
































