Pemain pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger melihat bola sepakan penalti diambilnya melepasi halangan penjaga gol Manchester City, Ederson dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, semalam.
Bayern Munich (GER) 1 Arsenal (ENG) 0
(Bayern menang agregat 3-2)
Manchester City (ENG) 1 Real Madrid (ESP) 1
(Agregat terikat 4-4, Real menang penalti 4-3)
MANCHESTER: Real Madrid mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan penyandang juara, Manchester City 4-3 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4 selepas masa tambahan Stadium Etihad hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, jaringan Rodrygo seawal minit ke-12 meletakkan juara 14 kali itu di depan selepas terikat 3-3 dalam aksi pertama sebelum ini.
Kelebihan yang dimilik Real itu tidak lama apabila Kevin De Bruyne menyamakan kedudukan pada minit ke-78 sebelum perlawanan diheret ke masa tambahan, namun keputusan tidak berubah.
Perlawanan kemudian terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan Antonio Rudiger memastikan pasukannya mara ke babak seterusnya selepas menjaringkan gol penting untuk menempah pertemuan dengan Bayern Munich selepas ini.
Dalam satu lagi aksi suku akhir di Munich, jaringan tunggal Joshua Kimmich pada minit ke-63 menghantar Bayern ke saingan separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-2 sekali gus akan menentang Real Madrid selepas ini.
Kemaraan Bayern ke saingan empat terakhir merupakan yang pertama sejak menjuarai kejohanan tersebut pada 2020.
































