PETALING JAYA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) Malaysia tahun ini kepada 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus sebelumnya.
Menurut Utusan Malaysia, Tinjauan Ekonomi Dunia April 2024 menunjukkan, IMF masih mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK benar Malaysia sebanyak 4.4 peratus bagi 2025.
Sementara itu, IMF mengunjurkan harga pengguna yang digunakan untuk mengukur inflasi pada paras 2.8 peratus tahun, berbanding 2.5 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu.
“Kadar pengangguran masing-masing diunjurkan pada 3.5 peratus bagi 2024 dan 2025, berbanding 3.6 peratus yang direkodkan pada 2023.
“Bagi akaun semasa pula, Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 2.4 peratus daripada KDNK bagi 2024 dan 2.7 peratus pada 2025,” kata laporan tersebut.
Unjuran pertumbuhan ekonomi negara tersebut adalah sejajar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjangka ekonomi negara akan berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, disokong permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran.
Sementara itu, bagi tinjauan ekonomi dunia pula, institusi kewangan dunia itu menyemak naik unjuran kepada 3.2 peratus bagi tahun ini, iaitu 0.1 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya.
IMF juga menaikkan unjuran ekonomi maju sebanyak 0.7 mata peratusan kepada 1.7 peratus berbanding 1.0 peratus sebelumnya.
“Ekonomi Amerika Syarikat (AS) pula dijangka berkembang 2.7 peratus pada 2024, naik 0.6 mata peratusan.
“Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan bagi kawasan Eropah diturunkan kepada 0.8 peratus berbanding 0.9 peratus sebelum ini. Jerman dan Perancis dikurangkan 0.3 mata peratusan setiap satu kepada masing-masing 0.2 peratus dan 0.7 peratus tahun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi pasaran baharu muncul dan ekonomi sedang membangun pula dinaikkan 0.1 mata peratusan kepada 4.2 peratus berbanding 4.1 peratus sebelum ini.
Sementara itu, unjuran pertumbuhan ekonomi China kekal tidak berubah pada 4.6 peratus pada 2024.
“Inflasi global pula dijangka turun daripada 5.9 peratus tahun ini kepada 4.5 peratus pada 2025, disokong oleh kadar faedah yang tinggi di kebanyakan negara,” jelasnya.
































