Lebih satu trilion cengkerik akan menyerang seluruh AS Mei ini.
NEW YORK: Saintis memberi amaran sebanyak 16 negeri di seluruh Amerika Syarikat (AS) bakal diserang lebih satu trilion cengkerik berikutan kitaran mengawan dua spesies serangga kecil itu yang muncul serentak pada musim bunga Mei ini.
Menurut Utusan Malaysia, dua jenis cengkerik berbeza atau disebut cicada, satu yang hidup dalam kitaran 13 tahun dipanggil Brood XIX dan Brood XIII dengan kitaran 17 tahun akan muncul dari tanah pada masa sama dalam fenomena yang hanya berlaku setiap 221 tahun.
Penduduk yang berada di Illinois, Indiana dan Iowa bakal menyaksikan haiwan berkenaan berterbangan dalam jumlah yang luar biasa besar kerana negeri tersebut adalah habitat utama kepada kedua-dua induk spesies cengkerik berkenaan.
Cengkerik Brood XIII yang kali terakhir muncul pada tahun 2007, dan mempunyai empat spesies berbeza dengan namanya dijangka menyerang pada akhir April hingga awal Mei ini.
Spesies Brood XIX yang juga dikenali sebagai Northern Illinois Brood pula diramal menjadi jauh lebih prolifik di seluruh AS, melanda negeri Alabama, Arkansas, Georgia, Illinois, Indiana, Kentucky, Louisiana, Mississippi, Missouri, North Carolina, Oklahoma, Carolina Selatan, Tennessee dan Virginia.
Induk cengkerik itu kali terakhir dilihat pada 2011 dan akan mula muncul pada pertengahan Mei.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) memberi amaran tentang bunyi bising yang bakal mengganggu tidur dan aktiviti harian penduduk kerana pepijat itu diketahui mampu mengeluarkan nada tinggi mencapai sehingga 100 desibel walaupun tidak menggigit atau menyengat.


































