DI usia 95 tahun, Daphne Selfe yang berasal dari United Kingdom (UK) masih kekal memegang gelaran model wanita profesional tertua dunia dalam rekod Guinness.
Menurut Utusan Malaysia, warga emas yang dilahirkan pada 1 Julai 1928 itu gigih meneruskan kerjayanya selepas menandatangani kontrak dengan Model 1, agensi model terbesar dan paling berjaya di Eropah pada 6 Disember 2023.
Kerjaya peragaannya sudah menjangkau lebih 70 tahun menerusi penampilan dengan jenama terkemuka seperti Dolce & Gabbana, Gap, Nivea, Olay, Tata-Naka dan Michiko Koshino.
Selain menghiasi muka depan majalah Vogue, Stella dan Marie Claire, Selfe juga berpengalaman bekerja dengan beberapa jurugambar fesyen terkenal, termasuk Mario Testino, Nick Knight dan David Bailey.
Selfe menyifatkan kesihatannya yang baik sebagai kunci utama mampu bertahan lama dalam industri fesyen.
“Makan dengan betul dan bersenam membantu untuk kekal cergas, tetapi saya tidak mengamalkan diet yang terlalu ketat kerana gemarkan kek serta kentang.
“Melakukan perkara yang menyeronokkan seperti berparti turut mengekalkan jiwa muda. Saya sering berkumpul dengan rakan-rakan walaupun hanya untuk minum kopi.
“Seseorang juga harus sentiasa makan banyak sayur-sayuran. Saya suka brokoli dan di rumah, saya menanam sendiri sayuran segar,” katanya.
Selfe yang pernah memegang watak sampingan dalam The Benny Hill Show, Dr Who, Upstairs Downstairs dan beberapa siri filem James Bond, berpindah ke rumah jagaan yang dibiayai oleh Royal Variety Charity tahun lalu.
Salah satu peristiwa paling menggembirakan dalam hidupnya ialah tersenarai sebagai antara penerima Kepujian Tahun Baharu Ratu Elizabeth selain memiliki Pingat Empayar Britain.
Mengimbau detik awalnya dalam dunia fesyen, Selfe berkata, dia mula menjadi model pada tahun 1949 ketika berusia 21 tahun.
“Saya bekerja di sebuah kedai di Reading, barat London dan mereka mengadakan pertandingan pertunjukan fesyen. Ramai gadis menyertainya dengan tawaran hadiah adalah menjadi wajah muka depan Kajian Reading & Berkshire. Saya menang dan di situlah kerjaya saya bermula.
“Pentas peragaan utama saya adalah di kedai-kedai besar di London, Northampton dan Bournemouth. Walaupun ramai gadis teruja dengan aksi catwalk, nama mereka yang menjadi model tidaklah begitu gah seperti hari ini.
“Dunia peragaan juga sangat berbeza ketika itu. Hari ini, banyak model mewakili jenama peribadi bernilai berjuta-juta dolar dan mempunyai ejen yang merundingkan jenis kerja,” jelasnya.
Selfe tidak lagi memandu, tetapi gembira mengembara ke tempat yang berbeza dengan kereta api dari rumahnya di Baldock, Hertfordshire.
Wanita yang bersemangat tinggi ini mempunyai tiga anak berusia 60-an dan empat cucu yang sudah berkerjaya.
Selfe juga mempunyai pandangan yang menyegarkan terhadap penuaan secara semula jadi, menegaskan tidak pernah menjalani sebarang pembedahan plastik.
“Nasihat saya tentang gaya dan penampilan untuk semua wanita ialah pakailah apa sahaja yang sesuai dan selesa untuk anda. Lihat cermin dan jangan risau apa yang orang lain fikirkan,” ujarnya.
































