Mohd Yusoff Mahadi
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihaknya akan melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis berhubung isu ‘surat layang’ yang menggegarkan badan induk bola sepak negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru dan mahu memberi laluan kepada bahagian integriti FAM untuk melakukan siasatan membabitkan setiap jabatan.
“Bukannya lambat (lapor Polis), bukannya mahu jawatankuasa berkenaan bersedia saja. Memang ada proses iaitu bahagian intergriti dahulu…nak bincang dengan jawatankuasa mereka dahulu.
“Itulah, tindakan paling cepat. Kita nak bincang dahulu dan lihat semua faktor,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dan Kerjasama (MoU) antara Super Football League (SFLI) dan Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka (BARU), serta pelancaran Liga M5 Negeri Sembilan dan Melaka 2024, semalam.
Sebelum ini, tular di media sosial ‘surat layang’ dalam bentuk emel yang membangkitkan isu kepemimpinan dan pengurusan FAM.
Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.
Ketika ditanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada datang melawat FAM dalam tempoh ini, Yusoff berkata, pihaknya tidak pasti berkenaan perkara terbabit.
“Itu saya tak pasti, cuma peringkat kita tahu SPRM terbabit dengan jawatankuasa integriti itu. Setakat ini, tak dapat apa-apa maklum balas berkaitan perkara itu,” katanya.
































