Aaron Ago Dagang
PUTRAJAYA: Sejumlah 47 isu perpaduan berkaitan agama, raja dan kaum (3R) direkodkan berlaku pada suku pertama tahun ini terutama melibatkan kenyataan berbaur kebencian kaum dan agama.
Jumlah itu meningkat sebanyak 123 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 21 isu berkaitan yang di kesan menerusi sistem e-Sepakat di bawah Kementerian Perpaduan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sistem e-Sepakat ini merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu tersebut secara digital.
Statistik laporan isu pergaduhan kaum yang direkodkan Polis DIraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan trend yang sama melibatkan 162 kes di seluruh negara dengan kes tertinggi di Johor sebanyak 53 kes, Selangor (34 kes) dan Pulau Pinang (23 kes).
“Sebanyak 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan dari platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lalu yang direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes); ucapan kebencian agama (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139).
“Kita amat bimbang isu 3R ini melibatkan isu sensitif, sebab itu apabila isu ini dibangkitkan dan menyentuh perkara ini perlu dielakkan, terutama kes sekarang ini berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah yang sudah sampai peringkat atasan dan kita cuba redakan dan tidak lagi dipanjangkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Aaron pada masa sama mengakui ahli-ahli politik yang digelar ‘toksik politik’ adalah punca kepada isu sensitiviti antara kaum dan agama diperbesarkan kerana mereka mempunyai kepentingan peribadi tanpa melihat kesan lebih serius.
Katanya, kumpulan ahli politik seumpama itu hanya mahu meraih undi kononnya mahu menjadi hero kepada bangsa dan agama sedangkan masalah itu sepatutnya ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kebanyakan rakyat dipergunakan dalam semua aspek, kita tak tahu apa isu dan kita ikut sahaja ‘membuta’ apatah lagi apabila ada orang yang bersikap provokatif mahu jadi hero dan ramai pengikut.
“Sebab itu timbulnya isu sensitif berlaku (lebih buruk). Kalau ada kes hasutan, polis ambil tindakan. Kita berharap untuk tidak menyentuh dan tidak diperbesarkan, malah mesti selalu faham, hormat dan terima kepelbagaian agama, kaum dan budaya di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron mahu kempen boikot perniagaan syarikat tertentu hanya atas dasar kebencian terhadap satu pihak boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi dan sosial di negara ini.
Menurutnya, kempen ini bukan hanya memberikan kerugian kepada syarikat berkenaan, malah ia memberi impak kepada peluang pekerjaan juga dalam kalangan anak muda Melayu bumiputera yang terpaksa diberhentikan kerja.
“Kempen boikot bukan satu cara untuk menyelesaikan masalah. KK Mart sendiri ada lebih 800 cawangan dan sumbangan kepada ekonomi berbilion sekali gus memberi kesan kerugian kepada negara.
“Jadi, kita perlu elak perkara seumpama ini kerana kita selama ini hidup bersama, tidak mungkin perkara tidak boleh diselesaikan dengan saling menghormati kerana kepelbagaian ini diurus dengan betul menjadi aset pada negara,” katanya.
































