Anwar Ibrahim ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa Madani di UITM Permatang Pauh, Pulau Pinang.
PERMATANG PAUH : Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bahawa kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan selewat-lewatnya ketika pembentangan belanjawan dibuat hujung tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, kenaikan itu perlu memandangkan struktur gaji penjawat awam ketika ini sudah lama tidak disemak.
“Kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini juga. Ada yang tanya, pasal apa (gaji) tak naik (tahun) 2020? Pasal apa tak naik 2021? Pasal apa tak naik 2022? Dia nak tunggu kita (Kerajaan Perpaduan) juga naik (gaji). Sebab apa? Sebab kita peka (dengan keperluan penjawat awam).
“Jadi, berita baik ini akan kita umum dalam beberapa bulan akan datang, selewat-lewatnya ketika belanjawan negara (hujung) tahun ini.
“Saya tak akan beritahu (secara terperinci) bila saya akan umum. Oleh itu dengar sampai habis (pembentangan belanjawan) itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di UITM Pulau Pinang, di sini hari ini. Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan untuk menaikkan gaji itu dibuat meskipun kerajaan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan defisit perbelanjaan negara.
“Kalau ada kepincangan, itu bukan salah golongan pekerja tetapi pengurusan kerajaan.
“Sementara kita betulkan salah guna kuasa golongan pemimpin, kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam ini,” katanya.
Pada Februari lalu, media melaporkan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat menggesa kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam berikutan kedudukan gaji semasa tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup tinggi.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilapor mengumumkan bahawa semakan pertama struktur gaji penjawat awam selepas 12 tahun akan dibentangkan semasa Belanjawan 2025 berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan sistem pencen bagi pekerja baharu.
Mesyuarat bersama Perdana Menteri dilapor membincang dan menimbang inisiatif-inisiatif penambahbaikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.
































