PETALING JAYA: Bank Dunia mengekalkan unjuran ekonomi Malaysia sebanyak 4.3 peratus tahun ini, didorong oleh jangkaan kemungkinan pemulihan dalam pertumbuhan global, penggunaan swasta dan eksport.
Menurut Utusan Malaysia, laporan Tinjauan Kemiskinan Makro Ekonomi Asia Timur dan Pasifik menyebut, permintaan dalam negeri akan terus menambat pertumbuhan.
Katanya, penggunaan swasta dijangka berkembang sebanyak 5.2 peratus (2023: 4.7 peratus), didorong keadaan pasaran buruh yang menyokong dan langkah sokongan pendapatan isi rumah yang berterusan.
“Eksport kasar diunjur berkembang sebanyak 4.8 peratus (2023: -7.9 peratus), sejajar dengan jangkaan pemulihan dalam perdagangan global. Pertumbuhan tertakluk kepada beberapa risiko penurunan.
“Pertumbuhan global mungkin lebih lemah daripada unjuran sekiranya keadaan monetari dan kewangan yang lebih ketat. Ketegangan geopolitik yang meningkat juga boleh melemahkan permintaan luar,” menurut laporan tersebut.
Sementara itu, Bank Dunia berkata, inflasi domestik yang lebih tinggi dan pertumbuhan pendapatan benar yang lebih lemah boleh menjejaskan kekuatan perbelanjaan penggunaan, terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah.
Jelasnya, inflasi keseluruhan dijangka menjadi sederhana kepada sekitar 2.5 peratus pada 2024, mencerminkan keadaan kos dan permintaan yang stabil.
“Ramalan ini, bagaimanapun, tertakluk kepada potensi perubahan dalam subsidi kerajaan dan langkah kawalan harga. Inflasi teras juga berkemungkinan lebih rendah pada 2024.
“Kemiskinan dijangka terus menurun. Salah satu fokus kerajaan adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pemindahan tunai terus, selain memastikan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur asas.
“Seperti yang diumumkan baru-baru ini, sasaran kerajaan sifar kemiskinan tegar telah dicapai di beberapa negeri,” ujarnya.
Namun begitu, laporan itu berkata, pandangan yang lebih luas dan sasaran pembasmian kemiskinan yang lebih bercita-cita tinggi melangkaui 0.2 peratus kemiskinan tegar negara semasa diperlukan.
Dalam Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia menunjukkan ekonomi negara sedang membangun Asia Timur dan Pasifik berkembang lebih cepat daripada seluruh dunia tetapi lebih perlahan berbanding sebelum pandemik.
Bank Dunia memberitahu, sementara pemulihan perdagangan global dan keadaan kewangan yang reda dijangka menyokong ekonomi di rantau ini, peningkatan hutang, perlindungan dan ketidakpastian dasar boleh menjejaskan pertumbuhan.
Katanya, pertumbuhan serantau diunjur lebih rendah kepada 4.5 peratus pada 2024 berbanding 5.1 peratus pada tahun lalu.
Sementara pertumbuhan dalam negara sedang membangun Asia Timur dan Pasifik tidak termasuk China diunjur meningkat kepada 4.6 peratus tahun ini berbanding 4.4 peratus pada 2023.