Anthony Loke
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan sebaran maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dikatakan mempunyai sasaran tertentu untuk mengeluarkan saman kepada orang ramai.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Anthony Loke menegaskan, pihaknya tidak pernah meletakkan sebarang KPI mengenai jumlah saman yang perlu dikeluarkan, sekali gus menegaskan keselamatan orang ramai dan pengurangan kadar kemalangan adalah fokus yang harus diutamakan.
“Sebaran maklumat itu tidak betul dan jangan percaya. JPJ adalah perlu pastikan tugas mereka untuk keselamatan dan operasi jalan, bukan operasi keluarkan saman.
“Tetapi, kalau dah salah, saman perlu dikeluarkanlah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau sempena persiapan Aidilfitri 2024 di TBS, di sini, kelmarin.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan mengenai MOT menyasarkan KPI tertentu kepada JPJ untuk mengeluarkan saman kepada orang ramai dengan jumlah tertentu.
Berikutan itu, Anthony menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mempercayai berita palsu yang tersebar dalam media sosial kerana fokus MOT adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan.