KUALA LUMPUR : Polis masih menyiasat identiti individu bernama Eran Haya yang didakwa dicari lelaki Israel selepas dia ditahan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana siasatan di peringkat kini belum mempunyai petunjuk positif terhadap lelaki yang didakwa suspek.
“Berdasarkan pengakuan suspek memberitahu mencari seorang lelaki warga Israel bernama Eran atas isu keluarga tetapi kita (polis) perlu mengesahkan identiti lelaki itu.
“Buat masa ini, kita belum jumpa lagi. Itu alasan dia sebagai motif tapi kita melihat kemungkinan motif berbeza daripada alasan diberikannya dan hanya mengada-adakan cerita,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin menegaskan,siasatan menjurus pelbagai sudut termasuk kemungkinan lelaki warga Israel itu berperanan sebagai koordinator bagi perancangan membunuh Eran.
“Kita lihat bagaimana seorang lelaki warga asing datang ke Malaysia boleh mendapat enam pucuk senjata dalam masa beberapa hari duduk di sini, jadi kita lihat kepada semua sudut.
“Mungkin dia boleh menjadi koordinator atau mungkin juga menjadi armourer (pakar senjata) atau datang untuk ambil senjata. Jadi itulah semua sudut siasatan kita, paling mustahak adalah mengenal pasti motif,” katanya.