Ramli Mohamed Yoosuf
KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian akibat jenayah komersial setakat minggu ke-12 tahun ini mencatatkan peningkatan sehingga 89 peratus iaitu RM770.5 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh sehingga 24 Mac, sebanyak 7,348 kes direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 7,986 kes dan kerugian RM407 juta.
“Biar pun berlaku pengurangan jumlah kes iaitu penurunan lapan peratus, jumlah kerugian sangat ketara dan cukup besar.
“Tahun ini (setakat 24 Mac) catat kerugian RM770.5 juta iaitu peningkatan 89 peratus berbanding RM407 juta dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, bagaimanapun, dari aspek pertuduhan, sejumlah 3,785 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah tahun ini sehingga 24 Mac lalu.
“Sebanyak 52 peratus pertuduhan daripada siasatan dibuka dan jumlah ini lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 3,463 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pecahan demografi tangkapan sepanjang 1 Januari hingga 3 Mac, seramai 4,131 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah komersial iaitu terdiri daripada 71 peratus lelaki dan 29 peratus wanita.
“Siasatan polis mendapati sebanyak 75 peratus berperanan sebagai keldai akaun, pekerja am (13 peratus), dalang (tujuh peratus), operator (tiga peratus), penyelia (satu peratus) dan kewangan (satu peratus).
“Sebanyak 84 peratus suspek ini juga berpendidikan menengah, selebihnya pendidikan rendah (11 peratus), diploma (empat peratus) dan ijazah (satu peratus),” ujarnya.
Justeru, Ramli mengingatkan, seiring dengan kemajuan teknologi, amat penting untuk masyarakat mengambil maklum dan melaksanakan langkah-langkah perlindungan untuk mencegah penyalahgunaan teknologi oleh sindiket penipuan atau jenayah komersial.


































