SHAH ALAM: Tidak berlakunya kes culik membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang berumur setahun tujuh bulan di pusat membeli-belah di Klang Sentral, Klang seperti yang tular dalam media sosial, pada Selasa lalu.
Jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, siasatan pihaknya mendapati dua lelaki warga Nepal berkenaan, yang pada awalnya didakwa sebagai penculik cuba membantu kanak-kanak berkenaan untuk menaiki eskalator pusat tersebut yang rosak semasa hari kejadian.
“Saya sendiri telah melihat rakaman dua kamera litar tertutup (CCTV) pusat berkenaan. Berdasarkan rakaman serta keterangan daripada dua lelaki itu, mereka cuba membantu kanak-kanak tersebut dengan mengangkat mereka ke eskalator berkenaan.
“Kemudiannya, mereka menyerahkan kanak-kanak itu kepada ibu kanak-kanak berkenaan setelah wanita itu perbuatan mereka. Mungkin disebabkan panik, wanita terbabit menjerit kerana mengandaikan anaknya akan diculik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian pada pukul 7.30 petang itu berlaku apabila dua lelaki warga asing didakwa cuba melarikan kanak-kanak terbabit.
Melihat kejadian itu, ibu mangsa telah menjerit serta menarik semula mangsa daripada suspek.
Dalam pada itu, Hussein berkata, dua lelaki tersebut juga tidak melakukan apa-apa persiapan untuk melakukan penculikan.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai kes penemuan wang berjumlah RM500,000 dalam sebuah bagasi di sebuah pusat membeli-belah di Damansara pada minggu lalu, Hussein berkata, individu yang mendakwa bahawa wang tersebut adalah milik syarikatnya akan berjumpa dengan pihak polis pada esok hari (Sabtu).
Menurutnya, polis akan merakam keterangan serta melihat bukti yang bakal dikemukan oleh lelaki berkenaan, bagi membuktikan wang tersebut adalah milik syarikatnya.


































