Penyu yang dirampas dalam kes penyeludupan haiwan dilindungi itu.
SACRAMENTO: Seorang lelaki didakwa atas pertuduhan melakukan penyeludupan penyu selepas haiwan dilindungi itu ditemukan di dalam bungkusan stoking yang dipintas di California Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, Sky News melaporkan, Sai Keung Tin, dari China didakwa selepas 40 ekor penyu eastern box ditemukan dalam empat bungkusan di sebuah fasiliti mel di bandar Torrance pada Jun 2023.
Perkara itu dinyatakan oleh ejen khas Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS) menyatakan dalam afidavit yang difailkan bersama aduan jenayah itu.
Memetik laporan NBC News, lelaki berusia 53 tahun itu didakwa atas empat pertuduhan mengeksport barangan melanggar undang-undang AS pada Jumaat lalu.
Penyu eastern box dikatakan disimpan di dalam stoking untuk mengelakkan haiwan dilindungi itu daripada mengeluarkan bunyi.
Dilaporkan, penyu eastern box dilindungi dibawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES).
Menurut Pejabat Peguam AS daerah California menerusi kenyataan, penyu berkenaan ditemukan di dalam bungkusan yang tertera alamat rumah Keung Tin.
Seekor penyu dilaporkan mati manakala yang lain pula masih hidup.
Pegawai memaklumkan Keung Tin ditahan di New York pada 25 Februari lalu selepas dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy.
Berdasarkan laporan afidavit, suspek dikaitkan dengan individu dikenali sebagai Kang Juntao yang pernah menyeludup sekurang-kurangnya 1,500 penyu dari AS ke Hong Kong pada 2017 dan 2018.
“Orang tengah untuk Juntao akan menghantar penyu ke alamat Keung Tin di Hong Kong dan dari sana haiwan itu akan diseludup masuk ke China,” jelas laporan itu.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman (DoJ) AS memaklumkan Juntao ditahan di Malaysia pada 2019 dan diekstradisi ke AS.
Pada Oktober 2021, Juntao dijatuhkan hukuman penjara lebih tiga tahun atas kesalahan pengubahan wang haram.
“Walaupun Juntao ditahan dan didakwa, bungkusan terus dihantar ke Keung Tin dan dipintas di Torrance,” jelas laporan afidavit itu.


































