Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada Program Road to Gold (RTG) selepas gagal meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memperkenalkan lima pelan pemulihan bagi memperbaiki struktur sukan terjun daripada peringkat akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi.
Pelan pemulihan tersebut dilaksanakan berikutan kegagalan penerjun negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 ekoran prestasi hambar pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Februari lalu.
Kegagalan itu juga menyebabkan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) selepas gagal menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Satu bedah siasat dijalankan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan bersama atlet bagi mendapatkan maklum balas berkenaan prestasi mereka.
“Hasil perbincangan membuahkan hasil apabila ianya diluluskan semasa dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Terjun pada 29 Februari lalu,” kata MAS dalam satu kenyataan, semalam.
Lima pelan pemulihan itu ialah, program pemulihan bakat negeri, program atlet muda (Fast Track, penstrukturan semula kejurulatihan, penstrukturan program latihan bagi persiapan ke temasya dan minimum markah kelayakan.
Mengulas penstrukturan semula kejurulatihan, MAS berkata, pihaknya mencadangkan tiga jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan seorang jurulatih tempatan khusus untuk 13 atlet Program Podium.