SACRAMENTO: Ribut salji besar melanda beberapa kawasan di California dan Nevada di barat Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, ribut salji tersebut menutup jalan-jalan utama, menjejaskan pusat peranginan ski dan menyebabkan puluhan ribu rumah terputus bekalan elektrik.
Ribut salji paling teruk dikesan di kawasan pergunungan Sierra Nevada, di mana tiupan angin dilaporkan mencecah 305 kilometer sejam (km/j).
Orang ramai diberi amaran tentang bahaya runtuhan salji yang tinggi termasuk di kawasan Tasik Tahoe yang lebih luas.
Peta gangguan bekalan elektrik menunjukkan lebih daripada 33,000 orang di Nevada dan hampir 24,000 di California terpaksa tinggal bergelap di kediaman mereka.
Sepanjang 121 km lebuh raya Interstate 80 terpaksa ditutup dengan Pejabat Peronda Lebuhraya California di Truckee, berhampiran dengan sempadan Nevada memaklumkan kakitangan kecemasan serta trak tunda berdepan kesukaran untuk membantu pemandu akibat salji tebal.
Pakar Meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberi amaran tentang situasi bahaya yang mengancam nyawa bagi penduduk yang tinggal berhampiran Tasik Tahoe dan kawasan pergunungan selepas salji setebal tiga meter dijangka melitupi kawasan yang lebih tinggi.
Beberapa pusat peranginan ski di sekitar Tasik Tahoe dan Taman Negara Yosemite ditutup sejak Jumaat lalu dan penduduk dinasihatkan kekal di rumah mereka sepanjang minggu.




























