Saintis menanam sel daging lembu di dalam bijiran beras.
SEOUL: Sekumpulan saintis di Korea Selatan berjaya mencipta sejenis makanan hibrid mampan berupa `nasi daging lembu’ ditanam di makmal, yang dikatakan mampu membantu menyelesaikan krisis makanan dan perubahan iklim.
Menurut Utusan Malaysia, makanan hibrid itu dihasilkan menggunakan sel lemak dan otot daging lembu yang ditanam dalam biji padi.
Bijiran beras baharu itu dibangunkan di makmal Universiti Yonsei di Seoul.
Menurut pasukan penyelidik, makanan hibrid itu boleh menawarkan alternatif daging yang lebih murah dan mampan terhadap alam sekitar selain mengurangkan jejak karbon.
“Bayangkan anda memperoleh semua nutrien diperlukan daripada beras protein yang dikultur sel.
“Nasi sememangnya mempunyai tahap nutrien yang tinggi, jadi dengan penambahan sel daripada ternakan boleh meningkatkannya lagi,” kata pengarang bersama kajian, Park So-hyeon dalam satu kenyataan.
Kajian mengenai makanan hibrid itu diterbitkan dalam jurnal sains, Matter.
Menurut kajian, bijiran itu disalut dengan gelatin ikan untuk membantu sel daging lembu melekat pada beras dan kemudian dibiarkan untuk dikultur dalam Petri sehingga 11 hari.
Jelas penyelidik, beras hibrid itu mengandungi lapan peratus lebih protein dan tujuh peratus lebih lemak berbanding beras biasa.
“Ciptaan baharu itu mengurangkan jejak karbon kerana kaedah pengeluaran menghapuskan keperluan untuk menternak haiwan yang menggunakan banyak sumber dan air selain membebaskan lebih banyak gas rumah hijau,” kata So-hyeon.
Pasukan penyelidik menganggarkan bagi setiap 100 gram protein yang dihasilkan, beras hibrid membebaskan 6.27 kilogram (kg) karbon dioksida, manakala pengeluaran daging lembu biasa membebaskan lapan kali lebih banyak.
Sekiranya produk ini dikomersialkan, ia akan memberikan pilihan yang jauh lebih murah bagi pengguna di Korea Selatan kerana beras hibrid dianggarkan berharga sekitar AS$2.23 (RM10.68) sekilogram lebih rendah daripada daging lembu.






























