Enam pelajar sebuah sekolah menengah di Perlis dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak di Mahkamah Majistret, Kangar, Perlis kelmarin.
KANGAR: Enam pelajar berusia 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di negeri ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak di Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas pertuduhan bergaduh di kawasan sekolah tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan tersebut dibuat oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas keluarga tertuduh bersetuju menyelesaikan perkara berkenaan di luar mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia 17 tahun itu didapati berhimpun dengan menyalahi undang-undang bertujuan untuk bergaduh di mana perbuatan berkenaan dilakukan antara pukul 10.45 hingga 11 pagi pada 1 Ogos tahun lalu di satu kawasan lapang bersebelahan kantin di sebuah sekolah di Perlis.
Oleh yang demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam, Ch’ng De Sern.
Prosiding dijalankan itu sebagai lanjutan sebutan semula kes berkenaan selepas pertuduhan terdahulu dibuat pada 10 November tahun lalu dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Sementara itu, De Sern berkata, keputusan yang dibuat mahkamah itu disambut baik oleh pelajar dan keluarga mereka.
Katanya, hal demikian kerana mereka mahukan kes tersebut diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
“Hasil perbincangan bersama waris keluarga bersetuju untuk menarik balik kes itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan kesemuanya sudah berbaik dan berdamai.
“Malah keputusan ini penting kepada masa depan pelajar terbabit memandangkan kesemuanya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.
“Apa yang penting adalah masa depan untuk pelajar itu yang masih panjang untuk menjadi warga berguna untuk negara,” katanya.
Selain itu, apa yang membanggakan daripada kes berkenaan juga adalah bukan sahaja pelajar terbabit menjadi lebih rapat tetapi juga dalam kalangan ahli keluarga mereka.






























