Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri untuk mengambil tindakan bersesuaian sekiranya didapati berlaku pelanggaran berkaitan aktiviti keagamaan membabitkan individu dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, PDRM turut meneruskan pemantauan mereka membabitkan aktiviti lelaki berkenaan jika didapati mengancam keselamatan atau ketenteraman awam.
“Kalau aktiviti dia bersifat keagamaan dan kalau ada elemen perlanggaran terhadap apa-apa juga undang-undang atau enakmen negeri, pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri sebagai autoriti agama dalam bidang kuasa kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang sesuai, kalau berlaku percanggahan.
“Bagi PDRM pula, kita bertanggungjawab dari segi ketenteraman dan keamanan awam. Jadi yang kita lakukan sekarang adalah meneruskan pemantauan kalau ada elemen yang menjejaskan atau mengancam keselamatan dan ketenteraman awam membabitkan aktiviti individu ini atau pengikutnya.
“Itu penting untuk saya letakkan premis yang jelas supaya masyarakat (dapat) memahami berkenaan dengan kedudukan dua perkara ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini kelmarin.
Pada hari sebelumnya, sebuah akhbar tempatan melaporkan PDRM memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Mawla Amin dan pengikutnya termasuk madrasah yang beroperasi di Selangor.
Ia susulan seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman pengikutnya.
Pada masa sama, Saifuddin turut mengesahkan bahawa lelaki terbabit aktif memasuki dan keluar dari negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Saya mengesahkan dia keluar masuk menggunakan pas sosial yang membenarkan dia berada di sini selama 90 hari. Dalam rekod kita dia sebenarnya warganegara Algeria dengan menggunakan pasport antarabangsa Perancis,” ujarnya.
Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin memaklumkan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan soal kewarganegaraan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 8 Mac ini.
“Dalam pindaan ini, sesi libat urus itu membabitkan semua tokoh-tokoh, individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang perlembagaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) termasuk aktivis sosial,” ujarnya.
Ditanya sama ada pindaan itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini, beliau berkata, ia bergantung kepada proses pembentangan kepada Jemaah Menteri tersebut.
Pada 14 Disember lalu, media melaporkan Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.
Saifuddin berkata, draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.






























