Imej beruang kutub lena di atas bongkah ais garapan Nima Sarikhani yang berjaya merangkul anugerah berprestij dunia fotografi.
Imej menakjubkan beruang kutub muda lena dibuai mimpi di atas bongkah ais yang dirakam jurugambar amatur Britain, Nima Sarikhani berjaya membantunya merangkul Anugerah Jurugambar Hidupan Liar Terbaik Sepanjang Tahun Pilihan Peminat yang dianjurkan di London minggu lalu.
“Imej yang dirakam Sarikhani bukan sahaja menakjubkan tetapi sarat dengan mesej yang membolehkan kita melihat keindahan dan kerapuhan planet kita.
“Imej sinis itu adalah peringatan jelas tentang ikatan penting antara haiwan dan habitatnya dan berfungsi sebagai gambaran visual kesan buruk pemanasan iklim dan kepupusan habitat haiwan,” kata kata Pengarah Muzium Sejarah Alam, Dr. Douglas Gurr.
Menurut Utusan Malaysia, Sarikhani merakam imej itu selepas tiga hari mencari beruang kutub melalui kabus tebal di luar kepulauan Svalbard Norway.
Peminat fotografi hidupan liar dan alam semula jadi dari seluruh dunia dijemput untuk mengundi daripada senarai pendek 25 imej yang dipertandingkan untuk merebut anugerah berprestij itu.
Empat lagi finalis yang terpilih dalam pertandingan itu turut menerima pujian kerana keunikan tersendiri yang dipamerkan pada setiap imej mereka. Antaranya gambar bertajuk The Happy Turtle, oleh Tzahi Finkelstein.
Tzahi Finkelstein sedang merakam gambar burung pantai, apabila dia melihat seekor kura-kura kolam Balkan berjalan di dalam air cetek.
Seekor pepatung tanpa diduga hinggap di hidung penyu tersebut hingga menghasilkan gambar yang cukup meruntun hati.
Gambar unik yang diambil Daniel Dencescu selepas menghabiskan masa berjam-jam mengikuti burung di sekitar pinggir bandar Rom di Itali turut mencuri hati peminat seni fotografi.
Ketika hari musim sejuk yang tidak berawan, ribuan burung berkicauan membentuk bayangan seakan burung gergasi yang sangat indah dan mengagumkan.
Kisah perkongsian kasih sayang ibu dan anak yang berjaya ditampilkan dalam rakaman imej singa betina oleh jurugambar, Mark Boyd turut membantu beliau tersenarai sebagai finalis pilihan.
Gambar itu menceritakan kehidupan dua ekor singa betina yang pergi memburu dan meninggalkan lima ekor anak tersembunyi semalaman di dalam semak tebal di Maasai Mara Mara di Kenya.
Pulang dari misi mereka yang tidak berjaya, mereka memanggil anak-anak itu ke padang rumput yang terbuka dan detik istimewa dua ekor singa mula menjilat anak-anak mereka sempat dirakam Boyd hingga menghasilkan imej yang istimewa.
Imej terakhir yang turut tersenarai sebagai finalis adalah Aurora Jellies hasil petikan kamera Audun Rikardsen.
Melindungi peralatannya dalam perumahan kalis air buatan sendiri, Rikardsen menggunakan kepakarannya untuk melaraskan fokus dan pencahayaan untuk merakam kelibat obor-obor.
Imey haiwan laut yang dihasilkan di perairan musim luruh yang sejuk di Troms, di utara Norway itu tambah menarik kerana diterangi oleh fenomena aurora borealis yang begitu terang.
Lima imej itu kini dipaparkan secara dalam talian dan akan dipamerkan di Muzium Sejarah Alam London sehingga 30 Jun ini untuk tatapan peminat seni fotografi.


































