Tangkap layar video seorang lelaki memukul wanita dan seorang warga emas di Jalan Selasa, Taman Rimba Mentakab di Temerloh, Pahang.
TEMERLOH: Polis daerah ini menahan seorang lelaki berusia 52 tahun berikutan kes memukul dan mendatangkan kecederaan terhadap dua orang mangsa berusia 31 dan 77 tahun di Jalan Selasa, Taman Rimba Mentakab di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, polis menerima aduan kejadian itu daripada mangsa berusia 31 tahun pukul 4.30 petang semalam yang memaklumkan kejadian berlaku ketika dia, nenek, rakan dan seorang wanita Indonesia sedang membersihkan rumah neneknya lalu dihalau oleh bapa saudaranya.
“Susulan ketika mereka dihalau, suspek lelaki berkenaan memukul pengadu wanita berkenaan yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan menggunakan penyapu pada lengan kanan sehingga dia beredar keluar dari rumah berkenaan.
“Ketika berada di luar hadapan rumah neneknya, sekali lagi mangsa wanita ini dipukul oleh bapa saudaranya dengan topi keledar pada bahagian belakang kepala dan badan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Menurut Mazlan, melihat kejadian tersebut, nenek yang berusia 77 tahun memukul suspek dengan penyapu sehingga keadaan menjadi panas apabila lelaki itu merentap penyapu di tangan warga emas terbabit lalu membalas pukulan.
“Kejadian itu berlanjutan, apabila suspek lelaki sekali lagi memukul mangsa wanita lalu kemudiannya melarikan diri dengan menunggang motosikal ke tempat lain,” katanya.
Beliau berkata, mangsa wanita berkenaan mengalami kecederaan, iaitu kesan merah pada tangan dan lengan sebelah kanan, kesakitan di anggota bahu kanan juga bengkak dan sakit pada bahagian belakang kepala, manakala warga emas itu bengkak di bahagian muka.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Akta Kanun Keseksaan.


































