KUNAK: Dakwaan dalam satu klip video ditular bahawa ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif terlibat dengan satu salah laku dalam memalsukan dokumen dan kononnya beliau sedang dijejaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berasas dan berniat jahat.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kunak, Bahri Lakile berkata, klip video tersebut mengambarkan kononnya Norazlinah terlibat dalam memalsukan dokumen berbentuk lesen Pusat Pendaftaran Kontraktor Kerja Bekalan dan Perkhidmatan Negeri Sabah (PUKONSA) bagi melaksanakan kerja-kerja kontrak melalui peruntukan ADUN.
“Saya melihat bahawa tuduhan tersebut amat jelas tidak berasas dan berniat jahat berdasarkan beberapa perkara iaitu pertamanya, semua peruntukan Kerajaan Negeri Sabah adalah diuruskan melalui Pejabat Daerah (dalam kes ini Pejabat Daerah Kunak) sebagai agensi pelaksana.

“Kedua, semakan yang kami lakukan mendapati bahawa salinan lesen yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah disahkan benar oleh Pejabat Daerah Kunak sendiri, bukannya oleh ADUN Kunak.
“Ketiga, Datuk Norazlinah tidak mempunyai sebarang kepentingan atau kaitan dengan pemilikan lesen yang dikaitkan dengan isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu Bahri yakin dan menegaskan bahawa kandungan dan penyebaran video tersebut adalah tidak berasas serta berniat jahat bertujuan menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Norazlinah sebagai wakil rakyat N63 Kunak.
“Pada hemat saya, sekiranya terdapat sebarang perlanggaran syarat dan kesalahan dalam urusan tersebut, perkara tersebut sepatutnya dirujuk kepada Pejabat Daerah Kunak yang menerima serta mengesahkan salinan lesen yang dimaksudkan.
“Oleh yang demikian sekiranya penyebaran klip video itu berterusan, maka saya mencadangkan agar Datuk Norazlinah mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menghasilkan dan menyebarkan video berunsur fitnah tersebut bagi melindungi reputasi dan kredibiliti beliau,” katanya.


































