Hannah Yeoh (kanan) ketika meninjau keadaan trek di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
KUANTAN: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan berjumpa skuad terjun negara bagi mendengar sendiri dakwaan terdapat kemelut dalaman yang berlaku dalam kem negara susulan kegagalan dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.
Menurut Utusan Malaysia, dakwaan itu dikemukakan oleh Ratu Terjun Negara, Datuk Pandelela Rinong kepada media semalam susulan kegagalan beliau menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kita akan mendengar dari kumpulan sasar kita iaitu atlet dan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) kerana masing-masing ada justifikasi mereka kenapa benda ini dibuat sebegini tetapi kita akan dengarlah.
“Tetapi untuk atlet dalam Road To Go (RTG) memang segala persiapan yang mereka nak, duit yang mereka hendak kita sudah bagi tambahan. Jadi sekarang terpulang kepada atlet,” ujarnya dalam satu sidang media yang diadakan selepas Majlis Penyerahan Siap Keria Trek Sintetik Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam proses untuk melakukan pembaharuan bagi meningkatkan ekosistem sukan negara.
“Kita sudah mula memberikan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kepada atlet dan sudah menaikkan gaji jurulatih, tetapi masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan,” ujarnya.
Dalam pasa itu katanya, bagi atlet RTG, semua persiapan dan keperluan tambahan termasuk dari segi kewangan sudah sudah dipenuhi oleh pihak kerajaan.
“Saya tidak akan katakan bahawa segala beban untuk mengejar emas hanya terletak kepada satu atau dua atlet. RTG telah ditetapkan kriteria pemegang pingat pada Olimpik pusingan lalu dan juga 10 teratas.
“Tapi ada juga mereka yang bukan Top 10, saya tidak katakan yang bukan Top 10 tidak boleh menang. Tidak, (tapi) dalam sukan, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sesiapa yang bertanding ada kemungkinan boleh kalah dan menang,” katanya.
































