KUALA LUMPUR: Punca kebakaran tingkat 17 Flat Sri Sabah adalah disebabkan masalah pendawaian elektrik di unit tiga kediaman itu sebelum merebak ke lima unit lain.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, dakwaan mengatakan kebakaran disebabkan bunga api adalah tidak benar.
“Unit Forensik JBPM Kuala Lumpur membuat siasatan dan mengenal pasti punca bermulanya kebakaran di unit tiga. Semasa kejadian unit tersebut dalam keadaan tertutup di pintu depan dan belakang.
“Kebakaran bermula di unit berkenaan sebelum merebak ke unit bersebelahan di nombor dua hingga lima unit lain,” katanya pada sidang akhbar di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah musnah dalam kebakaran.
Menurut bomba, satu unit kediaman yang terletak di tingkat berkenaan berjaya diselamatkan manakala lima unit kediaman yang terjejas mengalami kerosakan antara 85 hingga 97 peratus.
Selain itu, berhubung dakwaan pili bomba tidak berfungsi semasa hari kejadian, beliau menjelaskan alat tersebut berfungsi dalam keadaan baik cuma tekanan air di tahap rendah.
“Pili bomba berfungsi cuma berada tekanan rendah. Keperluan minima diperlukan sekurang-kurangnya dua bar, namun jumlahnya kurang daripada itu semasa kejadian,” katanya.
































