Para penunpang tiba di Stesen Keretapi Hengyang, Wilayah Hunan, 31 Januari lalu.
BEIJING: Kementerian Pengangkutan China menganggarkan kira-kira sembilan bilion perjalanan domestik melibatkan rakyatnya dan pelancong sempena cuti Tahun Baru Cina.
Hari kemuncak kesesakan dianggarkan berlaku pada 7 dan 8 Februari dengan rakyat menggunakan pelbagai kemudahan pengangkutan seperti kereta, bas ekspres, penerbangan dan kereta api.
Stesen pengangkutan di China dijangka sesak kerana ramai rakyat melakukan perjalanan untuk bersama keluarga masing-masing sebelum Sabtu ini.
Di China, sambutan Tahun Baharu China juga dipanggil Festival Musim Bunga.
Dalam perkembangan sama, keadaan salji tebal pada waktu ini memerangkap beribu-ribu pemandu di lebuh raya di tengah China.
Seorang penulis blog pelancongan Cina, Chen Wei berkata, dia dan teman lelakinya terpaksa menunggu selama 13 jam bagi memberi ruang kerja-kerja memecah ais selepas menempuh jarak 30 hingga 40 kilometer perjalanan.
Dia mengembara dengan menggunakan motor home, sedikit tidak terganggu dengan kelewatan ke kampung halamannya.
Dia memetik pepatah Cina lama iaitu menerima apa yang datang dan menghadapinya dengan tenang.
Chen dan teman lelakinya terperangkap di Hubei ketika memandu dari Hangzhou di timur China ke pedalaman wilayah Sichuan.
Dalam sesi temubual dengan stesen penyiaran tempatan, dia berkata, pengguna lebuh raya yang terperangkap turut dibenarkan menggunakan tandas mereka dan berkongsi air serta sosej.
Salji lebat, luar biasa di tengah China, diramalkan berterusan sehingga sambutan Tahun Baharu Cina.
Berjuta-juta orang menuju ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Tahun Baharu Cina yang jatuh pada hari Sabtu.
Pada hari perayaan berkenaan, keluarga secara tradisinya berkumpul untuk makan malam pada malam sebelumnya.
Dalam pada itu, lapor stesen penyiar negara, CCTV, Kerajaan Pusat di Beijing memaklumkan akan mengagihkan 141 juta yuan (AS$20 juta atau RM95.4 juta) sebagai bantuan segera untuk menyingkirkan salji tebal di lebuh raya dan kerja-kerja berkaitan di 11 wilayah bagi memastikan perjalanan selamat.
Di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, dahan pokok dipatahkan di bawah berat salji dan lapangan terbang menutup landasan kerana keadaan berais. Beberapa penerbangan dan kereta api dibatalkan atau ditangguhkan, menyebabkan pengembara terkandas selama berjam-jam.
Seorang pegawai pengurusan kecemasan wilayah memberitahu CCTV bahawa 4,000 kenderaan tersekat pada Isnin lalu kerana keadaan berais.


































