Hajiji (duduk, tengah) bersama wakil 17 kontinjen bertanding pada MASISWA Sukan Zon Sabah 2023.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, RM474.55 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan modal insan tahun depan.
“Ini adalah keutamaan untuk program pembangunan modal insan, antaranya pemberian biasiswa dan pendidikan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban belia yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, seperti bantuan tunai sekali sahaja untuk membayar yuran pendaftaran mereka di bawah program Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI).
Inisiatif itu diambil kerana keperluan dan kebajikan pelajar menjadi agenda utama Kerajaan Negeri, katanya pada majlis penutupan Sukan MASISWA Zon Sabah 2023 di Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF), di sini, malam tadi.
Hajiji yang juga Canselor UCSF menyeru pelajar institusi pengajian tinggi swasta dan awam untuk terus menyokong proses pembangunan negeri melalui pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan Negeri memerlukan sokongan bagi memastikan semua agenda pembangunan dalam pelan Hala Tuju SMJ berjaya dilaksanakan,” katanya.

Hajiji (lima kiri) diiringi Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris (empat kiri) menyampaikan trofi juara keseluruhan kepada ketua kontinjen UCSF.
Mengenai perkembangan terkini UCSF, Ketua Menteri berkata, beliau menyokong penuh rancangan universiti itu untuk menubuhkan kampus di luar Kota Kinabalu.
“Sebagai Canselor UCSF, saya sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan tinggi di Sabah dan institusi milik Kerajaan Negeri.
“Saya telah mengambil maklum tentang isu positif yang diumumkan oleh Naib Canselor, dan sebagai susulan kepada keputusan Kerajaan Negeri untuk menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan, saya difahamkan bahawa Pusat Kajian Pembangunan UCSF sedang menjalankan beberapa penyelidikan.
“Saya percaya dengan keupayaan dan kekuatan penyelidikan yang ada sekarang, UCSF mampu menghasilkan penyelidikan dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, Sukan MASISWA (Majlis Sukan IPTS Malaysia) atau antara institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) adalah platform terbaik untuk membentuk ‘Atlet Berfikiran’.
Seramai 1,600 atlet dan pegawai dari 17 institusi berkumpul selama empat hari di kampus tuan rumah, UCSF untuk bersaing dalam sembilan acara yang dipertandingkan.
“Saya gembira melihat kerjasama dan penglibatan IPTS di Sabah. Teruskan kerjasama dan semangat kesukanan,” katanya.


































