Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menjelaskan peruntukan RM320 juta yang dibentangkan kepada Perdana Menteri pada bulan Jun tahun ini adalah untuk langkah jangka pendek dan bukannya untuk selesaikan semua masalah air di negeri ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membangkitkan perkara tersebut semasa membahas Belanjawan Sabah 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
“ADUN Lamag menyatakan RM320 juta adalah satu jumlah yang terlalu kecil untuk menyelesaikan masalah air di Sabah. Sudah tentulah tidak cukup kerana untuk menyelesaikan maslaah air di Sabah kita memerlukan perbelanjaan lebih RM12 bilion.
“Yang kita bentangkan kepada Perdana Menteri pada 1 Jun tahun ini yang berjumlah RM320 juta itu adalah untuk langkah-langkah jangka pendek yang meliputi lapan inisiatif.
“Antara inisiatif tersebut adalah untuk menukar paip-paip lama, menukar pam-pam yang rosak, membuat pemotongan-pemotongan dan skim vendor bagi mengurangkan kegiatan sambungharam kepada paip-paip Jabatan Air.
“Jadi saya buat pembetulan, bukan kita kemukakan RM320 juta untuk selesaikan semua masalah air di Sabah. Itu hanya untuk penyelesaian jangka pendek,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan DUN hari ini.
Shahelmey berkata, Kementerian Kerja Raya Sabah sememangnya menyedari akan masalah dan isu air yang sering dibangkitkan.
Katanya, Kementerian akan berusaha sehabis daya menangani dan menyelesaikan isu ini apatah lagi air merupakan asas kepada kehidupan dan pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan industri di negeri ini.
“Oleh itu, selain pelaksanaan projek-projek pembangunan seperti Program Bekalan Air Negeri di bawah biayaan Kerajaan Negeri, Program Bekalan Air Serta-Merta/Rancangan Bekalan Air Negeri Sabah melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC); dan Geran Persekutuan untuk Program Bekalan Air Luar Bandar BALB Negeri Sabah melalui Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), struktur dan organisasi Jabatan Air Negeri Sabah itu sendiri dirombak agar relevan dengan tuntutan semasa,” katanya.
Kadamaian
Sementara itu, bagi menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), beliau berkata, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kg. Kapa – Kg.Sinalapak dan sekitarnya, telah diluluskan dalam Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Walau bagaimanapun, disebabkan oleh bantahan keras dan memorandum dari penduduk dari kawasan Bundu Paka yang mana terletaknya kawasan cadangan intake baharu, maka pihak KKDW telah bersetuju untuk menangguhkan projek ini.
“Cadangan untuk perubahan nama projek seperti yang dicadangkan oleh ADUN Kadamaian akan dirujuk kepada KKDW dan tertakluk kepada kelulusan selanjutnya,” katanya.
Tanjung Papat dan Elopura
Mengenai Datuk Frankie Poon (Tanjung Papat) dan Calvin Chong (Elopura) yang membangkitkan isu berkaitan air masin di Sandakan, Shahelmey berkata, pemantauan kepekatan klorida telah dimulakan pada Disember 2022 sehingga kini.
Katanya, persampelan dilakukan setiap hari dan kemudian setiap minggu selepas dioperasikan sementara oleh Timatch Sdn Bhd dan dikendalikan oleh makmal wilayah JANS bagi memantau trend tahap kepekatan klorida. Kaedah yang digunakan untuk menentukan kepekatan klorida ialah Kaedah APHA 4500-CL.
“Masalah penyusupan air masin dari Sungai Segaliud ke Empangan Betotan kini adalah terkawal.
“Berdasarkan kepada Laporan Pemantauan Kualiti Air yang dilaporkan oleh pihak Makmal Jabatan Air Negeri Sabah bagi bulan Januari sehingga bulan November 2023, tahap kandungan Klorida telah menunjukkan tren penurunan yang konsisten dan telah berada dalam piawaian seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak bulan Jun 2023. Pemantauan ini dilaksanakan secara mingguan di bawah Program Pemantauan Kualiti Air, Jabatan Air Negeri Sabah bersama- sama Unit Kawalan Mutu Air Minum, Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.
Sebagai langkah penyelesaian kekal, katanya, Jabatan Air Negeri Sabah akan memohon kelulusan dari Kementerian Kewangan bagi melantik Perkhidmatan Perundingan Kejuruteraan untuk menyediakan dan melaksanakan Kajian Kemungkinan Terperinci dan Rekabentuk untuk Menaiktaraf Loji Rawatan Air Segaliud termasuklah pembinaan mukasauk Baharu, Sandakan bermula pada awal tahun 2024.
Terma dan Syarat untuk menjalankan kerja-kerja kajian ini adalah untuk mengkaji serta mengenalpasti lokasi baharu sumber air mentah yang mempunyai keupayaan bagi menampung keperluan permintaan bekalan air sehingga tahun 2050 dan seterusnya termasuklah merekabentuk Loji Rawatan Air Baharu dengan kapasiti sebanyak 125 Juta Liter Sehari.
Kemabomg
Mengenai Datuk Rubin Balang (Kemabong) yang bertanya tentang Projek Sistem Bekalan Air Baharu di kawasan Kemabong, Shahelmey menjelaskan, Tenom telah diluluskan dalam Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah di bawah RMKe-12.
Status projek pada masa kini sedang dalam peringkat rekabentuk terperinci dan perlu melalui peringkat Makmal. Kejuruteraan Nilai yang akan ditetapkan oleh pihak KKDW pada tahun 2024 kelak, katanya.
Sebatik
Bagi menjawap pertanyaan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), beliau berkata, Jabatan Air Negeri Sabah melalui Program Pembangunan Bekalan Air Negeri Sabah dibawah Pembiayaan Kerajaan Negeri RMK12 telah diluluskan dua buah projek.
Menurutnya, pelaksanaan kedua-dua projek ini telah bermula sejak September 2023 dan dijangka akan siap masing-masing pada Mei dan Jun 2025. Skop pelaksanaan kedua-dua projek tersebut juga melibatkan penambahbaikan di Loji Rawatan Air Kalabakan dan Loji Rawatan Air Kg. Murut.
“Jabatan Air Negeri Sabah juga telah mengemukakan cadangan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Bekalan Air Kalabakan Dan Kawasan Sekitarnya, Tawau dalam Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah, Rolling Plan ke 4 (RP4) Tahun 2024 namun tidak mendapat pertimbangan kelulusan dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, KKDW.
“Walau bagaimanapun, projek ini akan disusuli dan akan dikemukakan semula dalam RP5 Tahun 2025 untuk pertimbangan kelulusan.”
Sri Tanjong
Kepada Justin Wong (Sri Tanjong) yang membangkitkan tentang status terkini Skim Bekalan Air Tawau Fasa ll, Shahelmey berkata, status terkini Skim Bekalan Air Tawau Fasa III adalah di peringkat Rekabentuk dan Pembinaan Empangan Air masih sedang dalam pembinaan.
“Terdapat kelewatan terhadap pembinaan projek ini khususnya berkenaan dengan masalah bekalan mentah seperti simen daripada satu-satunya pembekal di tawau menyebabkan kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan komponen empangan yang melibatkan kerja-kerja konkrit.
“Walau bagaimanapun, perkara tersebut telah diselesaikan dan tarikh jangkaan baru siap projek ini adalah pada Julai 2026.
“Jabatan Air Negeri Sabah sedang bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Tanah dan PPHT Tawau dalam menyelesaikan isu-isu berhubung dengan pampasan bayaran tanah yang terlibat dengan projek ini dan akan diselesaikan dengan segera.”
Bongawan
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Dr. Daud Yusof (Bongawan), Shahelmey berkata, Jabatan Air Negeri Sabah melalui Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah RMKe-12 telah diluluskan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Loji Air Bongawan dengan kos RM38 juta.
Projek tersebut telah dalam peringkat penyediaan Dokumen Tender dan tertakluk kepada pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk melaksanakan proses tender, tambahnya.
Telupid
Berhubung masalah bekalan air di Telupid, Shahelmey berkata, Jabatan Air Negeri Sabah sedang melaksanakan Projek Pembesaran Paip Air Agihan Dari Tangki Simpanan Air R5 Kg. Tapaang ke Kg. Wonod / Kg. Malapi / Kg. Taviu / Kg. Kopuron / Kg. Lumou, Telupid melalui peruntukan pembiayaan Kerajaan Negeri dalam RMK12.
Projek ini sedang dalam pelaksanaan dengan peratus fizikal setakat Oktober 2023 telah mencapai 72% dan dijangka akan siap menjelang Februari 2024.
Oleh itu, katanya, Jabatan Air Negeri Sabah telah membuat beberapa initiatif tindakan-tindakan segera bagi menstabilkan dan memulihkan bekalan air di kawasan Pekan Telupid antaranya seperti berikut:
1. Membuat pengawalan injap suis untuk membuat tekanan air dibekalkan sama rata dan untuk build-up tekanan air ke semua kawasan;
2. Memastikan saluran-saluran paip transmisi dan agihan kepada pengguna sentiasa dalam keadaan baik dan dipantau melalui Unit Penyelenggaraan NRW Daerah;
3. Menggerakkan Loji Tangki Air Jabatan dan membekalkan air terawat kepada pengguna-pengguna berdaftar JANS;
4. Melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan paip di bawah Kontrak Penyelenggaraan yang sedang dalam pelaksanaan.


































